KUALA LUMPUR – Sebuah pusat karaoke dan bar di Medan Imbi di sini, yang menawarkan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) diserbu polis dalam satu operasi pada Khamis.
Serbuan Op Hiburan Khas itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semasa serbuan terdapat seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai penjaga premis.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 73 wanita disyaki GRO.
“Kesemua wanita berusia lingkungan 24 hingga 40 tahun itu terdiri daripada tiga warga tempatan, 52 warga Thailand, lima warga Vietnam, dua warga China, enam warga Laos dan lima warga Indonesia, yang kesemuanya telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap pekerja warga asing mendapati 68 orang memiliki dokumen perjalanan yang sah, manakala dua orang tidak mempunyai dokumen yang sah.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja di premis terbabit.
“Seramai 145 orang terdiri daripada pekerja dan pelanggan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan awal air kencing,” ujarnya.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati pusat hiburan terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan GRO sebagai tarikan kepada pelanggan, selain mengenakan bayaran tip sekitar RM100 hingga RM500.
Menurut Rusdi, siasatan dijalankan antaranya melibatkan kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, penyalahgunaan permit atau visa serta ketiadaan dokumen perjalanan yang sah.