JPN Kedah pastikan kebajikan, pendidikan Putri Qisya terbela

Iklan
Abd Rahim (dua dari kiri) semasa menziarahi Putri Qisya di Jitra pada Rabu.

Kanak-kanak tersebut layak menerima semua bantuan persekolahan yang ada kerana statusnya kini bertukar kepada yatim piatu.

JITRA - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memberi jaminan bahawa kebajikan dan masa depan pendidikan Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, akan terus dijaga dan diberi perhatian sepenuhnya.

Putri Qisya kini menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya serta empat adik-beradiknya maut dalam kemalangan ngeri apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok di sini.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pihaknya akan memastikan segala bentuk bantuan persekolahan yang disediakan kerajaan disalurkan kepada kanak-kanak itu.

“Apabila status adik ini bertukar menjadi yatim piatu, maka secara automatik dia layak menerima semua bantuan persekolahan yang ada.

Iklan

“Kita akan pastikan dia mendapat manfaat daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) serta bantuan tunai ‘one-off’ bencana daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi Putri Qisya di rumah saudaranya di Taman Sri Aman di sini pada Rabu.

Iklan

Abdul Rahim berkata, tiga adik Putri Qisya yang turut terkorban dalam tragedi itu merupakan pelajar sekolah dan dilindungi insurans pelajar.

Menurutnya, pampasan insurans tersebut akan disalurkan kepada Putri Qisya sebagai waris tunggal.

"JPN Kedah juga bersedia membantu membuka akaun bank khas bagi memudahkan pengurusan kewangan hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin terhadap nasib kanak-kanak itu.

“Kita mahu pastikan sumbangan yang diterima diurus dengan baik dan telus. Matlamat utama kita adalah untuk menjamin pendidikan adik Qisya hingga ke menara gading,” katanya.

Tambah beliau, JPN Kedah turut bersedia memudahkan proses pemindahan sekiranya Putri Qisya mahu bersekolah di lokasi yang lebih sesuai, termasuk sekolah berasrama.

Pasukan kaunselor dari sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan JPN Kedah akan memberikan sokongan emosi secara berterusan bagi membantu kanak-kanak itu mengharungi trauma kehilangan, tambahnya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kereta Proton Iswara yang dinaiki enam sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam Sungai Korok.

Kesemua mangsa iaitu Mohamad Azim Izat Ishak, 32; Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan ditemukan maut pada pagi Isnin.