Tadika swasta disiasat, lebih 200 murid alami simptom keracunan plumbum

Iklan
Sebuah tadika swasta di Tianshui, Wilayah Gansu kini disiasat pihak berkuasa selepas lebih 200 muridnya mengalami simptom keracunan plumbum, dipercayai akibat makanan yang dicemari bahan kimia berbahaya.

TIANSHUI, CHINA – Sebuah tadika swasta di Tianshui, Wilayah Gansu kini disiasat pihak berkuasa selepas lebih 200 muridnya mengalami simptom keracunan plumbum, dipercayai akibat makanan yang dicemari bahan kimia berbahaya.

Menurut laporan Reuters, pihak berkuasa telah menahan lapan individu, termasuk pengetua dan kakitangan kantin tadika Heshi Peixin, selepas ujian makmal mendapati sampel makanan mengandungi plumbum pada kadar jauh melebihi paras selamat.

Iklan
Iklan

Antara makanan yang diuji termasuk kek tamar merah kukus dan roti sosej jagung, dengan kandungan plumbum didapati melebihi sehingga 2,000 kali ganda daripada had selamat yang ditetapkan kerajaan.

Setakat ini, daripada 251 murid yang berdaftar, seramai 233 kanak-kanak disahkan mengalami keracunan plumbum, dan 201 daripadanya telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Iklan

Siasatan dimulakan pada 8 Julai lalu, selepas beberapa ibu bapa membuat aduan bahawa anak mereka menunjukkan simptom luar biasa seperti sakit perut, keletihan, bau mulut kuat, dan keguguran rambut.

Media tempatan melaporkan, kakitangan kantin dipercayai telah menggunakan cat industri yang dibeli secara dalam talian untuk mencantikkan makanan, dipercayai bagi menarik lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak di tadika itu dan meningkatkan keuntungan.

Iklan

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan masyarakat tempatan dan kebimbangan nasional, dengan ramai mempertikai kelemahan sistem pemantauan keselamatan makanan di institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada paras pendedahan plumbum yang selamat terutama kepada kanak-kanak kerana ia boleh menjejaskan perkembangan otak, sistem saraf dan fungsi tubuh secara kekal.

Tadika tersebut yang dibuka pada tahun 2022 kini telah diarahkan tutup sementara, dan pihak berkuasa kesihatan serta keselamatan makanan masih menjalankan siasatan lanjut termasuk ke atas pembekal bahan mentah.

Polis turut mengesahkan bahawa lapan suspek yang ditahan kini sedang disiasat atas kesalahan berkaitan ancaman kesihatan awam dan keselamatan makanan.