Proses lantikan Ketua Hakim Negara patuhi Perlembagaan Persekutuan - Azalina

Iklan
Azalina.

SHAH ALAM - Pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

"Dalam hal ini, Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai 2025.

Iklan

"Jemaah Menteri turut memberi jaminan bahawa pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap sekadar 'konduit' yang menerima syor daripada mana-mana pihak berhubung pelantikan dalam badan kehakiman termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Iklan

Sebaliknya, kata Jabatan Peguam Negara (AGC), Anwar memegang tanggungjawab yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan memelihara kebebasan, kredibiliti dan integriti institusi kehakiman negara.

Menurut jabatan itu, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Azalina, Jemaah Menteri pada Rabu telah membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai perkara berkenaan.

Ujarnya, kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat tentang pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.

"Pada masa yang sama, berikutan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya, Yang Amat Arif Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan) sehingga jawatan tersebut diisi.

"Ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 9(1)(b) serta subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91]. Ini bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara," katanya.

Tegas beliau, Kerajaan Madani kekal komited untuk terus memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk dengan meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.

"Semoga semua pihak boleh memberi ruang agar proses telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi," ujar beliau.