SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura kini sedang menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di Hotel Traders KLCC, Kuala Lumpur.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @dr_amandaelli, sesi pengambilan tersebut disertakan dengan tawaran pakej yang sangat menarik termasuk gaji permulaan sebanyak SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000), tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.
“MOH Singapura datang terus ke Hotel Traders KLCC untuk menemu duga GP/doktor kita yang berminat bekerja di luar negara.
“Peluang yang sangat baik untuk mengumpul simpanan sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum pulang semula ke Malaysia jika rindu kampung halaman,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Iklan pengambilan itu terbuka kepada semua doktor serta graduan lepasan ijazah dalam bidang perubatan dari Malaysia dengan tawaran dua jawatan utama iaitu Pegawai Perubatan dan Pembantu Klinikal.
Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, termasuk kebimbangan terhadap gelombang penghijrahan doktor Malaysia ke luar negara.
Ramai mempersoalkan sama ada kerajaan telah melaksanakan langkah secukupnya bagi mengekalkan tenaga perubatan tempatan daripada berkhidmat di luar negara.
“Kalau ditukar kepada Ringgit Malaysia, jururawat pun boleh dapat gaji sampai RM10,000 sebulan,” tulis seorang pengguna.
“Nah, tengok! Mereka datang terus ke KL semata-mata nak ambil doktor kita,” komen seorang lagi pengguna.