SHAH ALAM - Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menziarahi anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak mereka di Jerlun pada Selasa.
Detik itu dikongsi Nurulhidayah menerusi laman Facebook dengan memaparkan gambar bersama Putri Qisya Nur Izzat, 12.
"Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulillah ALLAH permudahkan.
"Thethe sayang Qisya, arwah mama Qisya nama Nurul Hidayah. Thethe baru Qisya, Nurulhidayah," katanya pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan kehilangan enam sekeluarga ketika dalam perjalanan pulang dari rumah saudara di Taman Aman, Jitra ke Jerlun pada jam kira-kira 5.30 pagi Sabtu.
Kehilangan itu terjawab apabila kenderaan dinaiki kesemua mereka ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Korok pada Isnin di mana kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia.
Anak sulung mangsa, Putri Qisya tidak turut serta kerana berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian.
Nurulhidayah turut mendoakan agar Qisya berjaya dalam kehidupan.
"Semoga Qisya membesar menjadi wanita solehah yang cemerlang, berjaya dan disegani," ujarnya.