KUALA LUMPUR - Tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi instrumen tajam persaingan geopolitik yang harus ditangani ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara realitinya kuasa bukan lagi alat untuk membentuk perdagangan dan menjana pertumbuhan tetapi kini berubah fokus untuk memberi tekanan, pengasingan dan mengenakan sekatan.
“ASEAN mesti menghadapi realiti ini dengan jelas dan yakin. Kita mesti membaca landskap secara klinikal, bercakap dengan koheren dan bertindak dengan pandangan jauh.
“Kekuatan kesepaduan kita tidak boleh terhenti pada kenyataan bersama semata-mata. Ia mesti diterapkan dalam institusi, strategi dan keputusan ekonomi kita.
“Oleh itu, saya menggesa penjajaran yang lebih erat antara negara ASEAN dan landasan dasar ekonomi asing dan ekonomi kita. Menteri mesti bergerak bersama dalam menghadapi cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Rabu.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata, keharusan itu sejajar dengan Wawasan 2045 ASEAN yang menyeru kepada sinergi yang lebih besar merentasi tonggak dan sektor.
Tegasnya, ia mesti diselaraskan sepadan dengan realiti yang negara ASEAN hadapi kini.
“Semasa mengharungi tekanan luaran, ASEAN perlu menguatkan asas dalaman. Kita mesti berdagang lebih banyak sesama kita, melabur lebih banyak antara satu sama lain dan memajukan integrasi merentas sektor dengan azam.
“Membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan lebih berhubung adalah satu kemestian strategik yang akan menambat perkaitan dan ketahanan kita untuk beberapa dekad akan datang,” jelasnya.
Menurut Anwar, memandangkan keadaan global masih tidak menentu, wujud keperluan untuk bertindak demi kebaikan rantau sendiri dengan memajukan kerjasama yang memberikan manfaat ketara kepada rakyat.
ASEAN katanya, akan terus memberi tumpuan kepada kerjasama praktikal iaitu ketersambungan, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam dan ketahanan iklim.