ISKANDAR PUTERI – Tindakan agresif seorang lelaki menendang kereta dan menunjukkan isyarat lucah dalam kejadian di Gelang Patah pada Ahad akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis, selepas video insiden itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumaresan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang memaklumkan keretanya ditendang suspek dalam kejadian kira-kira jam 8.37 malam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham selepas kereta dipandu suspek telah melanggar kenderaan mangsa dari arah belakang. Suspek turut menunjukkan isyarat lucah ‘jari tengah’.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek pada hari sama di tepi jalan kawasan Gelang Patah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, suspek berusia 20 tahun kini direman empat hari hingga 10 Julai bagi membantu siasatan.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Terdahulu, tular rakaman video dalam tempoh 20 saat memaparkan seorang lelaki menendang pintu kereta berulang kali dan kemudiannya ditahan oleh anggota polis.