Lima termasuk seorang wanita didakwa edar dadah

Iklan
Empat warga asing dan seorang lelaki tempatan didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan mengedar dadah, bulan lalu. Gambar hiasan

AMPANG – Empat warga asing dan seorang lelaki tempatan didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan mengedar dadah, bulan lalu.

Mereka ialah tiga lelaki warga Taiwan, Lu Jui Tse, 27, Chang Heng Pin, 37, Hsu Chia Kuei, 28 dan seorang wanita dari Vietnam, Do Thi Thanh Thanh, 20, sementara lelaki tempatan, Yee Wei Keh, 37.

Iklan
Iklan

Semua tertuduh mengangguk tanda faham, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan

Di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top, empat tertuduh iaitu Jui Tse, Heng Pin, Thanh Thanh dan Wei Keh didakwa bersama-sama telah mengedar dadah jenis kokain anggaran berat 2,767 gram, di sebuah kondominum di sini pada jam 4.15 petang, 25 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Iklan

Sementara di hadapan Majistret, Normaizan Rahim, seorang lagi tertuduh, Chia Kuei didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah masing-masing jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) anggaran isipadu 140 mililiter dan kokain (anggaran berat 56 gram).

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis (anggaran berat 40.68 gram) di tempat sama, jam 4.35 petang pada tarikh serupa, mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, Chia Kuei mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis (anggaran berat 40.68 gram) di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 akta sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(1) akta itu, yang membawa penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari dan S Kirthana manakala semua tertuduh diwakili peguam-peguam, R Maran dan Farra Emira Amir Firdaus.

Dua mahkamah itu menetapkan 22 dan 23 September depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada Selasa minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, taktik licik dua sindiket dadah di sebalik pengedaran jus dan rokok elektronik terbongkar susulan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM26.9 juta dalam siri operasi berasingan sekitar ibu kota dan Ampang pada hujung bulan lalu.

Kedua-dua sindiket yang aktif sejak Oktober dan Disember tahun lalu, dikesan memproses dadah sintetik sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan menggunakan rumah teres dan kondominium mewah yang disewa sebagai makmal untuk memproses bahan terlarang tersebut.