MELAKA - Insiden jalan berlubang di Lebuh Ayer Keroh berhampiran susur ke Padang Jambu yang tular akibat berlakunya masalah pembentung saluran parit pecah.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Ir Mohamad Salzeli Moktar berkata, disebabkan keadaan itu berlaku jalan berlubang yang dipanggil runtuhan jalan berdiameter kira-kira 20 sentimeter dan 1.5 meter dalam.
Menurutnya, tidak menolak kemungkinan lubang itu terbentuk apabila jentera berat penutap jalan kerap melalui kawasan terbabit sehingga menjejaskan struktur tanah yang semakin lemah.
"Selepas menerima laporan itu kita telah turun ke lokasi dengan disertai beberapa agensi berkaitan.
"Pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan mendapati berlaku pembentung pecah lalu air keluar hingga melemahkan struktur tanah dan mengakibatkan lubang," katanya.
Tambahnya, JKR Melaka segera melakukan kerja-kerja pembaikan bermula Selasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari.
Terdahulu tular video berdurasi 49 saat yang memaparkan seorang penunggang motosikal mengalami rim tayar motosikal bengkok selepas terlanggar lubang itu.
Individu itu turut menasihatkan pengguna lain dari arah Ayer Keroh supaya berhati-hati ketika melalui jalan utama dua lorong itu untuk ke pusat bandar.