ALOR SETAR - Arwah Mohamad Azim Izat, 32, yang maut bersama isteri dan empat anak setelah kenderaan mereka jatuh ke Sungai Korok, sempat berpesan kepada adiknya supaya menjaga ibu mereka.
Muhammad Adlan Solehin Ishak, 24, yang merupakan adik bongsu kepada Mohamad Azim Izat berkata, arwah abangnya itu ditemui sehari sebelum kejadian kehilangan enam beranak itu.
"Last (Kali terakhir) jumpa arwah hari Jumaat sebelum kejadian, kami makan sekali, dia memang selalu pesan minta jagakan emak tapi kali ini pesan banyak kali... tak sangka itu pesanan terakhir abang," katanya.
Muhammad Adlan yang menetap di Perlis menjelaskan, berita penemuan mangsa hanya diketahui pada Subuh hari Isnin menerusi satu panggilan telefon.
"Pagi tadi lepas Subuh, polis telefon mengatakan ternampak bumbung kereta dalam sungai dan panggil ahli keluarga.
"Semua ke sana nak tengok sama ada betul ke tidak... masa kereta ditarik keluar, kami cam (kenal) kereta tu sebab ada pelekat kat belakang dan mereka juga mengesahkan mangsa masih ada di dalam," katanya.
Operasi mengeluarkan mangsa dan menaikkan kereta milik keluarga itu dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Jelasnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan ketika ini proses bedah siasat masih berlangsung.
Kesemua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun sebaik sahaja selesai bedah siasat.