M Nasir pilih rock tutup tirai trilogi CIPTA

Iklan
Iman Tang dan M. Nasir ketika sidang media konsert baru-baru ini.

LEGENDA muzik tanah air, Datuk M Nasir kembali dengan konsert terbaharu yang dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah.

Diberi judul DATO’ M N46IR CIPTA 3, konsert yang bakal berlangsung pada 27 September depan di Axiata Arena Kuala Lumpur ini menjadi pelengkap kepada siri trilogi konsert yang dimulakan sejak tahun lalu.

Iklan
Iklan

Dibawakan oleh Icon Entertainment dengan Etiqa sebagai rakan strategik utama, konsert kali ini tampil dengan konsep unik berjudul “Malam Ini Gua Rock”, yang memberi ruang kepada penghibur tersohor itu meraikan sisi rock beliau, baik sebagai penyanyi mahupun pencipta lagu-lagu rock yang pernah melonjakkan nama kumpulan-kumpulan ikonik tanah air.

Selepas kejayaan CIPTA 1 pada Ogos 2024 dan CIPTA 2 pada Oktober tahun yang sama, penonton masih belum melupakan bagaimana konsert kedua ditutup dengan taburan wang kertas RM1 berjumlah RM10,000 ketika lagu raya didendangkan.

Iklan

Detik epik itu kemudian melahirkan CIPTA RAYA, sebuah konsert eksklusif berkonsepkan lagu-lagu raya yang berlangsung penuh warna pada April 2025.

Kini M Nasir tampil sekali lagi, bukan hanya untuk mengulangi kejayaan terdahulu, tetapi untuk menyempurnakan sebuah trilogi seni yang telah membentuk jadual seninya sejak tahun lalu.

Iklan

Malah beliau menyifatkan DATO’ M N46IR CIPTA 3 sebagai sebuah keraian. Keraian dalam cara rock.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert kali ini hadir dengan kejutan berbeza. Walaupun ada yang mungkin beranggapan penganjuran trilogi ini mengurangkan eksklusiviti M. Nasir, namun dia yakin kehadiran konsert ini bakal membuktikan sebaliknya.

Iman berkata, konsep “Malam Ini Gua Rock” sangat dekat dengan jiwa M. Nasir, memandangkan sifu tersebut pernah mencipta begitu banyak lagu rock yang menjadi siulan sepanjang zaman.

Lagu-lagu seperti Sejati, Pawana dan Intanku Kesepian bukan sahaja menjadi warisan kumpulan seperti Wings dan Search, malah telah menjadi nadi dalam perjalanan muzik rock tempatan.

“Ya, Icon Entertainment kembali dengan DATO’ M N46IR CIPTA 3. Mungkin ada yang mengeluh ‘konsert M Nasir lagi’, atau ‘nyanyi lagu apa pula kali ini’ atau ‘M Nasir sudah tidak eksklusif’ kerana penganjuran trilogi konsert, tetapi percayalah DATO’ M. N46IR CIPTA 3 akan memberi kejutan baharu buat peminat.

“Sama seperti penganjuran CIPTA 1 dan CIPTA 2 yang berbeza, tentu sahaja peminat tidak akan rasa membazir untuk melaburkan duit lagi untuk DATO’ M N46IR CIPTA 3.

“Kerana apa? Pertama tentu kerana karisma sang legenda, the one and only maestro Datuk M. Nasir sendiri. Kedua kerana konsep Malam Ini Gua Rock yang cukup dekat dengan M Nasir. Sifu adalah ‘arkitek’ yang mencipta banyak lagu rock popular tanah air sehingga harum se-Nusantara," katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Tambah Iman lagi, pengisian konsert bakal menampilkan seleksi lagu rock ciptaan M. Nasir untuk kugiran dan penyanyi terkenal tanah air yang selama ini tidak pernah didendangkan sendiri secara penuh dalam mana-mana persembahan.

Antara lagu-lagu yang bakal bergema malam itu termasuk Pawana, Intanku Kesepian dan Sejati, selain beberapa lagu lain yang telah lama mengisi nostalgia penggemar muzik rock tanah air.

“Semua pun tahu, M. Nasir bukan hanya penyanyi yang menyanyikan karya peribadi tetapi beliau adalah pencipta untuk kebanyakan lagu popular kugiran atau penyanyi lain.

“Sebagai contoh, kita kenal lagu Sejati atau Intanku Kesepian milik Wings, tetapi M. Nasir adalah pencipta lagu rock yang menjadi antem buat kebanyakan peminat.

“Bagaimana bunyi lagu-lagu rock yang pernah popular ini dipersembahkan M. Nasir dalam ‘bentuk seni’ tersendiri. Datanglah DATO’ M N46IR CIPTA 3, anda akan menemui momen ajaib di sini," jelasnya lagi.

Menambahkan lagi warna malam konsert, peminat turut digalakkan hadir dengan pakaian bertemakan “Rock Cara Lu... Janji Rock”, sebagai simbol kebebasan berfesyen dan berekspresi dalam gaya masing-masing.

Tiket mula dijual kepada umum bermula Jumaat, 4 Julai jam 11 pagi. Tiket boleh didapati menerusi platform www.ticket2u.com.my/mnasircipta3.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu RM258 (Teguh), RM358 (Opera Hidup), RM458 (Isi dan Kulit), RM488 (Sejati), RM558 (Gadisku) dan RM628 (Pawana).