PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli berdepan ujian getir untuk meraih mata berharga apabila berlumba dalam keadaan trek basah saingan Pusingan 3 Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) di Perancis pada Ahad.
Dalam perlumbaan di Litar Magny-Cours tersebut, pelumba pasukan SIC Rcing MSi itu terjatuh pada awal perlumbaan, namun berjaya bangkit menutup aksi di tangga ke-29 daripada 32 pelumba.
Insiden malang tersebut bukan sesuatu yang dimahukan oleh Hakim Danish, namun pujian wajar diberikan kepada pelumba berusia 17 tahun itu yang tetap kental bangkit untuk menamatkan perlumbaan.
Keputusan berkenaan menyaksikan pelumba yang berasal dari Terengganu itu menghuni tangga keenam keseluruhan bagi kelas JRGP dengan 38 mata, 43 mata di belakang pendahulu yang juga pencabarnya dari Sepanyol, Brian Uriante.
"Berasa agak kecewa kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan di posisi lebih bagus kerana saya terjatuh di awal perlumbaan dalam keadaan litar basah.
"Ketika di trek, saya tidak ada keyakinan. Saya bagaikan hilang kawalan di bahagian belakang. Saya cuba kekalkan momentum untuk berada dalam kelompok hadapan, namun malangnya saya terjatuh," ujar Hakim Danish.
Perlumbaan tersebut dimenangi Soel Esteban dari CFMoto Aspar Junior Team, manakala Casey O'Gorman (Estrella Galacia 0'0) di tangga kedua.
Rakan sepasukan O'Gorman, Rico Salmela dari Finland pula melengkapkan podium ketiga.
Selepas ini, Hakim Danish akan menyertai perlumbaan Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025 di Jerman minggu depan.
Litar Sachsenring bakal menjadi medan buatnya untuk kembali bangkit memperagakan tunggangan lebih meyakinkan.
"Saya akan terus fokus dan Insya-ALLAH minggu depan perlumbaan seterusnya untuk RBRC di Sachsenring," katanya.