JAKARTA – Kerajaan Brazil merancang untuk membawa kes kematian rakyatnya, Juliana Marins, semasa mendaki Gunung Rinjani ke peringkat badan hak asasi manusia benua Amerika sekiranya didapati berlaku kecuaian oleh pihak berkuasa Indonesia dalam usaha menyelamat mangsa.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Pejabat Pembela Awam Persekutuan Brazil (DPU) bersedia mengemukakan kes itu ke Suruhanjaya Antara-Amerika Mengenai Hak Asasi Manusia (IACHR) sekiranya siasatan mendapati kerajaan Indonesia gagal memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa.
Setiausaha Pemangku Kerajaan Wilayah Nusa Tenggara Barat, Lalu Mohammad Faozal berkata, pihak berkuasa tempatan telah berusaha sedaya upaya dalam operasi menyelamat di tebing Cemara Nungal, Gunung Rinjani.
“Kami telah melakukan yang terbaik sepanjang operasi menyelamat,” kata beliau, yang turut menjelaskan bahawa laluan dan faktor cuaca menyukarkan akses segera ke lokasi pendaki terkandas.
Walaupun butiran lengkap mengenai siasatan belum didedahkan, Brazil dilaporkan memantau rapat perkembangan kes ini dan mendesak penjelasan serta ketelusan penuh daripada kerajaan Indonesia.
Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada Kementerian Luar Indonesia berhubung ancaman tindakan undang-undang tersebut.
Juliana Marins, seorang pelancong Brazil, dilaporkan terkandas dan meninggal dunia ketika turun dari puncak Gunung Rinjani, gunung berapi aktif yang juga menjadi antara destinasi pendakian paling popular di Indonesia. -Agensi