KUALA SELANGOR – Pembangkang Selangor menyelar tindakan kerajaan negeri yang hanya mengadakan taklimat berhubung insiden letupan paip gas dan bukannya memanggil satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diminta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, kegagalan kerajaan negeri mahu pun persekutuan untuk memberikan penjelasan memuaskan berhubung insiden itu menunjukkan keperluan mendesak untuk perbahasan terbuka di DUN Selangor.
“Perkara ini telah berlaku lebih dari sebulan, namun masih belum ada jawapan konklusif, malah saya nak sebut pun malu,” katanya ketika ditemui semasa Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Harrison berkata, walaupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan satu sesi taklimat akan diadakan pada Isnin, namun pendekatan itu disifatkan tidak mencukupi.
“Sesi taklimat ini secara sehala dengan mereka memberi taklimat dan kita dengar sedangkan sudah tahu jawapan diberikan oleh agensi berkaitan.
“Namun, apa yang kami mahu ialah ruang untuk bertanya secara langsung di dalam sidang khas DUN,” tegasnya.
Menurutnya, pembangkang menerima banyak aduan daripada rakyat berkaitan aspek teknikal insiden itu dan mahukan penjelasan menyeluruh di peringkat DUN.
Beliau turut mempersoalkan kesesuaian masa taklimat yang dijadualkan berlangsung pada jam 4.30 petang, Isnin sedangkan sidang DUN telah ditetapkan bermula hari sama hingga 18 Julai dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
“Sampai hari ini, kami tak nampak ruang yang diberikan oleh kerajaan negeri selain taklimat esok.
“Kami tetap konsisten perlu ada sidang khas berkaitan isu paip pecah ini,” tambahnya.
Sementara itu, ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang mengadakan taklimat tertutup sedangkan laporan berkaitan wajar dibentangkan secara terbuka dalam sidang DUN Selangor.
Katanya, pelbagai persoalan teknikal dan kepentingan awam masih belum terjawab walaupun laporan siasatan insiden itu telah disediakan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Saya ambil maklum bahawa menteri besar ada sebut mengenai taklimat, tapi persoalannya esok kita ada sidang DUN, kenapa laporan itu tak dibentangkan dalam sidang dewan?
Menurut Nurul Syazwani, perkara itu sepatutnya dibahas secara terbuka memandangkan ia melibatkan kepentingan awam, keselamatan rakyat dan kredibiliti pentadbiran negeri.
“Kalau kita dah ada sidang DUN, apa salahnya dibentangkan dan dibahas secara rasmi? Dulu (ketua pembangkang) Datuk Seri (Mohamed) Azmin (Ali) ada minta buat sidang khas dan telah menghantar usul rasmi ke arah itu.
“Malah saya sendiri bersama ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin telah kemukakan petisyen yang ditandatangani penduduk kawasan terlibat untuk mendesak laporan itu dibentangkan dalam dewan.
“Adakah sidang DUN esok akan dipendekkan semata-mata kerana mahu beri laluan kepada taklimat tertutup ini dan apa relevannya?” soalnya.
Tambahnya, isu letupan paip gas itu bukan perkara kecil dan perlu dibahas secara menyeluruh oleh semua wakil rakyat melalui sidang khas DUN.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, satu sesi taklimat khas berhubung isu letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights akan diadakan kepada semua ahli Parlimen dan ADUN Selangor pada Isnin ini.
Amirudin berkata, taklimat itu akan dibuat khusus kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.