WASHINGTON – Bilionair dan tokoh teknologi terkenal, Elon Musk pada Sabtu mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu dikenali sebagai Parti Amerika selepas berlakunya pergeseran ketara antara beliau dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Musk, yang sebelum ini merupakan penderma individu terbesar dalam kempen pemilihan semula Trump pada 2024 dan juga dianggap sebagai penasihat rapat Presiden itu berkata, keputusan tersebut dibuat susulan kelulusan rang undang-undang dasar domestik yang dikritiknya kerana didakwa membebankan negara dengan hutang dan ketirisan kewangan.
“Apabila membabitkan soal membankrapkan negara dengan pembaziran dan penyelewengan, kita sebenarnya hidup dalam sistem satu parti, bukannya demokrasi.
“Hari ini, Parti Amerika ditubuhkan bagi mengembalikan kebebasan anda,” katanya menerusi platform media sosial miliknya, X.
Musk sebelum ini lantang menentang rang undang-undang yang digelar Trump sebagai “rang undang-undang yang cantik dan besar” kerana ia dijangka menambahkan trilion dolar kepada defisit persekutuan.
Ketegangan antara kedua-dua tokoh tersebut memuncak bulan lalu, namun sempat reda apabila Musk menarik balik kenyataan-kenyataan kasar terhadap Trump di media sosial.
Namun, ketegangan kembali meningkat beberapa hari lalu apabila rang undang-undang tersebut diluluskan dan ditandatangani Trump pada Jumaat.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sejauh mana Musk telah mengambil langkah sah dari segi undang-undang untuk menubuhkan parti baharunya itu, termasuk keperluan mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC).
Laporan terkini FEC juga tidak menunjukkan sebarang petunjuk bahawa pendaftaran rasmi telah dibuat.
Dalam kenyataan lanjut di media sosial minggu ini, Musk menjelaskan bahawa Parti Amerika akan menjadi satu kuasa politik aktif menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun depan, namun pada peringkat awal, ia hanya akan memberi tumpuan kepada beberapa kerusi di Dewan Perwakilan dan Senat.
Difahamkan, Musk menyasarkan penubuhan sebuah parti yang lebih konservatif dari segi fiskal dan bertekad mengawal perbelanjaan kerajaan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai hala tuju dasar parti tersebut.
Meskipun Musk dan Trump berkongsi pandangan yang hampir sama mengenai isu-isu sosial semasa, jutawan itu tetap menegaskan bahawa agenda fiskal Republikan hanya akan menambah hutang negara, malah menyifatkannya sebagai bentuk “perhambaan hutang”.
Sistem dua parti di Amerika Syarikat sering dikritik oleh penyokong Demokrat dan Republikan sendiri, namun usaha mewujudkan parti ketiga sejak abad lalu jarang membuahkan hasil.
Pada tahun 1992, bilionair Ross Perot bertanding sebagai calon Bebas dan berjaya meraih hampir satu perlima undi popular, namun gagal memenangi sebarang negeri, sekali gus membuka jalan kepada kemenangan Bill Clinton.
Pakar sains politik dan kewangan kempen sebelum ini menjelaskan bahawa penubuhan parti baharu di Amerika memerlukan sumber kewangan yang besar serta menghadapi pelbagai kekangan undang-undang, menyebabkan ramai pengundi dan calon enggan menyertainya.
Sementara itu, Trump turut membalas tindakan Musk dengan memberi amaran bahawa kerajaan mungkin menilai semula kontrak besar yang diberikan kepada syarikat-syarikat milik bilionair itu.
Presiden juga menggambarkan Jabatan Kecekapan Kerajaan yang pernah diketuai oleh Musk sebagai satu entiti besar yang kini boleh “berpatah balik dan menelan Elon.” – Agensi