GERGASI Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mara ke separuh akhir Piala Dunia Kelab selepas menundukkan jagoan Jerman, Bayern Munich 2-0 dalam perlawanan penuh insiden dramatik di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta yang disaksikan 66,937 penonton.
Gol kemenangan PSG hadir menerusi rembatan Désiré Doué pada minit ke-78, sebelum Ousmane Dembélé menyumbat gol kedua pada masa kecederaan, walaupun skuad bimbingan Luis Enrique terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas dua pemain Les Parisiens dibuang padang.
Perlawanan itu bagaimanapun dibayangi detik mencemaskan apabila bintang muda Bayern, Jamal Musiala mengalami kecederaan buku lali yang serius selepas pertembungan dengan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma di penghujung babak pertama.
Musiala, yang baru kembali pulih daripada kecederaan diturunkan buat kali pertama dalam kejohanan ini dan dilihat memegang pergelangan kaki kiri sambil menahan kesakitan selepas insiden tersebut, menyebabkan Donnarumma kelihatan terganggu.
Bayern terlebih dahulu menggegarkan gawang menerusi tandukan Dayot Upamecano, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid, manakala penjaga gol mereka, Manuel Neuer tampil cemerlang menafikan peluang keemasan Bradley Barcola pada awal separuh masa kedua.
Selepas jaringan pembukaan Doué, PSG kehilangan tonggak pertahanan, Willian Pacho pada minit ke-82 yang dilayangkan kad merah kerana terjahan terhadap Leon Goretzka.
Pemain gantian, Lucas Hernandez yang dimasukkan pada minit ke-80 turut diarah keluar padang di hujung permainan selepas mengasari Raphaël Guerreiro dengan siku pada minit ke-92.
Bayern bimbingan Vincent Kompany turut menerima nasib malang apabila dua jaringan dibatalkan kerana ofsaid, termasuk percubaan Harry Kane, selain satu sepakan penalti yang pada awalnya diberikan ke atas PSG ditarik balik selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Perlawanan ini juga menjadi detik perpisahan buat ikon Bayern, Thomas Müller, 35, yang menggantikan Kingsley Coman pada minit ke-80, sekali gus menamatkan karier gemilang selama 17 tahun bersama kelab zaman remajanya.
Kemenangan ini menyaksikan PSG bakal berdepan Real Madrid yang menang 3-2 ke atas Borussia Dortmund dalam pertemuan separuh akhir.