SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang penceramah bebas sedang disiasat berhubung dakwaan penyebaran video seks membabitkan isterinya dan beberapa wanita lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang wanita yang juga isteri kedua kepada penceramah tersebut pada 16 Jun lalu.
Menurutnya, wanita itu mendakwa suaminya telah menyebarkan video seks yang melibatkan dirinya, madunya serta beberapa wanita lain.
“Susulan itu, polis telah menahan penceramah berkenaan pada 1 Julai (Selasa) lalu dan merampas dua telefon bimbit serta sebuah komputer riba milik suspek.
“Hasil semakan ke atas telefon bimbit tersebut menemui beberapa video seks membabitkan suspek bersama isteri-isterinya serta gambar-gambar mengaibkan beberapa wanita lain,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek telah direman selama empat hari sehingga Sabtu dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mira Noraien Norashid di talian 011-1143 0765,” ujarnya.