Pemandu ikut aplikasi navigasi punca bas ekspres langgar palang had ketinggian

Iklan
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tujuh individu termasuk pemandu bas cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki mereka melanggar palang had ketinggian.

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Akibat bergantung kepada aplikasi navigasi, seorang pemandu bas ekspres tidak menyedari kewujudan palang besi penghadang had ketinggian di Jalan Mutiara, Putra Mahkota di sini sebelum melanggar struktur berkenaan dalam kejadian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.25 malam itu, pemandu bas berusia 62 tahun berkenaan sedang memandu dari Kuantan menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka dengan membawa 21 penumpang.

Iklan
Iklan

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berhampiran sempadan Nilai, Negeri Sembilan apabila pemandu dipercayai menggunakan aplikasi navigasi tanpa menyedari terdapat palang besi penghadang had ketinggian di laluan terbabit.

“Bas yang dipandu kemudian melanggar palang berkenaan sehingga tersekat dan mengakibatkan bahagian hadapan serta atas bas pecah dan rosak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, jumlah penumpang dalam bas tersebut termasuk pemandu adalah seramai 22 orang, terdiri daripada 19 dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Akibat kemalangan itu, seramai tujuh orang termasuk pemandu mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan.

Iklan

“Mereka yang cedera terdiri daripada tiga wanita dan empat lelaki, dibawa ke Hospital Serdang dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, penumpang yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah pulang ke destinasi masing-masing bersama ahli keluarga yang tiba di lokasi kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 012-5897115 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tujuh individu termasuk pemandu bas cedera ringan selepas bas ekspres yang mereka naiki melanggar palang had ketinggian dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota, di sini.