KUANTAN – Seorang pegawai kesihatan kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 38 tahun itu melihat satu iklan kerja menaikkan rating produk di sebuah aplikasi pada 17 Mei lalu.
Menurutnya, setelah menekan pautan iklan, mangsa diarahkan ke aplikasi Telegram untuk tugasan tersebut.
Katanya, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran bagi menerima komisen daripada setiap tugasan dilaksanakan.
"Pada awalnya, mangsa membuat bayaran sebanyak RM430 ke akaun suspek dan telah menerima keuntungan sebanyak RM575.
“Seterusnya, mangsa melakukan 15 transaksi ke 12 akaun berbeza berjumlah RM184,123.20 antara 17 Mei hingga 4 Jun, namun selepas itu, tiada komisen diterima seperti dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Yahaya berkata, mangsa kemudiannya mencari bantuan dan dihubungi individu mendakwa daripada sebuah badan bukan kerajaan.
Jelasnya, mangsa seterusnya berurusan dengan seseorang yang memperkenalkan diri sebagai peguam untuk urusan bantuan undang-undang.
“Bagi tujuan itu, mangsa membuat tiga transaksi lagi ke dua akaun berbeza berjumlah RM15,816, namun wang tetap tidak dipulangkan
“Mangsa yang menggunakan wang simpanan dan pinjaman bank itu akhirnya sedar ditipu dan tampil membuat laporan polis,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.