HULU SELANGOR – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengenakan empat kompaun terhadap pemilik dan pengusaha tanah yang terlibat dalam kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah haram di Jalan Monorel, Sungai Choh di sini.
Kompaun dikeluarkan susulan pelanggaran undang-undang berkaitan pelupusan sampah secara haram yang mengakibatkan kebakaran membabitkan sisa buangan binaan dan domestik di atas tanah seluas satu hektar sejak 25 Jun lalu.
MPHS dalam satu kenyataan berkata, selain kompaun, dua notis arahan pembersihan turut dikeluarkan bagi menggesa pemilik bertanggungjawab melaksanakan tindakan segera.
"Tanah yang terlibat telah dikenal pasti sebagai milik sebuah syarikat dengan syarat kegunaan tanah pertanian, manakala zon guna tanah adalah industri," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sehubungan itu, MPHS mengarahkan pemilik supaya melakukan penutupan api dengan bantuan pihak bomba.
"Operasi pemadaman dilaksanakan secara berterusan 24 jam dengan sokongan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Bukit Sentosa berjaya mengawal serta memadamkan kira-kira 75 peratus kawasan terbakar," katanya.
MPHS menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pelupusan sampah secara haram yang boleh mengancam keselamatan awam dan alam sekitar.
"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkuat kuasa," jelasnya.
Terdahulu, Sinar Harian pada Khamis melaporkan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun menggesa MPHS dan agensi berkaitan supaya segera mengambil tindakan terhadap kebakaran di tapak pelupusan sampah Jalan Monorel, Sungai Choh yang masih belum dipadamkan sejak lebih seminggu lalu.
Menurut Mohd Hasnizan, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau dimaklumkan bahawa punca sebenar kebakaran masih belum dikenal pasti setakat ini.