Wanita tular tunggang motosikal lawan arus sambil guna telefon

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan seorang penunggang motosikal menunggang secara melawan arus sambil menggunakan telefon bimbit di KM38 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tol Hutan Kampung, Alor Setar.

ALOR SETAR - Polis sedang memburu seorang wanita yang menunggang motosikal secara melawan arus sambil menggunakan telefon bimbit di Kilometer 38, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Tol Hutan Kampung.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya mengesan insiden itu menerusi satu video tular di Facebook pada Jumaat.

Iklan
Iklan

“Dalam video berdurasi 23 saat tersebut, penunggang motosikal dipercayai seorang wanita berdasarkan pakaian berwarna gelap yang dipakai.

“Dia dilihat menunggang secara melawan arus menuju ke arah Jitra sambil memegang telefon bimbit tanpa menghiraukan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik Kota Setar pada jam 7.34 malam, Jumaat, untuk tindakan lanjut.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan awal selain mendapatkan kerjasama daripada pihak PLUS bagi mengesan penunggang terbabit.

Iklan

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu dalam video berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kota Setar, Sarjan Mohd Khairulnizam Abdul Aziz di talian 011-2835 0767 atau Balai Polis Trafik Kota Setar di talian 04-732 1222,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000.

“Polis Kota Setar menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu sewenang-wenangnya sehingga mengabaikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Siti Nor Salawati turut menegaskan bahawa polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang sengaja melanggar atau tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.