Lebih 26,000 PATI ditahan, 1,000 majikan disiasat – Imigresen

Iklan
Zakaria (tengah) bergambar bersama lagenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan (tiga dari kiri) semasa meninjau reruai Hari Bertemu Pelanggan Peringkat JIM Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melipatgandakan penguatkuasaan apabila 6,913 operasi dilaksanakan dengan 26,326 tangkapan dilakukan sepanjang setengah tahun sejak Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, statistik setakat 3 Julai telah mencapai 70 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, JIM telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 97,322 warga asing dan menahan 26,326 individu yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“JIM juga telah mengambil tindakan terhadap lebih 1,000 majikan yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuk restoran serta kilang kerana disyaki menggajikan serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Iklan

“Kita percaya sehingga hujung tahun ini kita akan mencapai lebih banyak sasaran,” katanya kepada pemberita selepas Program IMI Kuala Lumpur Run dan Hari Bertemu Pelanggan Peringkat JIM Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.

Zakaria menyampaikan hadiah kepada peserta IMI Kuala Lumpur Run pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha serta Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya juga merekodkan tangkapan warga asing yang dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa lain.

Jelasnya, JIM sentiasa memantau dan mengenal pasti lebih 200 ‘hotspot’ PATI di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

“Kita berusaha menangani mereka yang melakukan kesalahan imigresen dan tidak akan berkompromi dengan perkara ini.

“Pelbagai modus operandi PATI telah dikesan. Ada yang masuk sebagai pelancong untuk bekerja dan ada juga yang menggunakan laluan haram,” ujarnya.

Mengulas mengenai program yang dianjurkan di pekarangan Pejabat JIM Kuala Lumpur sempena Hari Imigresen, Zakaria berkata lebih 800 peserta terlibat dalam IMI Kuala Lumpur Run yang menawarkan kategori lima dan 10 kilometer.

Menurut beliau, program sebegini memberi ruang kepada JIM untuk mengetengahkan peranan agensi itu kepada masyarakat.