Malayan Tigress tekad gempur habis-habisan

Iklan
Keupayaan sebenar Malayan Tigress diuji sepenuhnya apabila berdepan Korea Utara malam ini. Foto Football Association of Malaysia

PEMAIN skuad bola sepak wanita negara, Eusvewana Kadius menzahirkan tekad untuk memberikan segala-galanya apabila skuad Malayan Tigress turun menentang pasukan pilihan, Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Stadium Central, Dushanbe, malam ini.

Mengakui Korea Utara sebagai antara pasukan terkuat dalam kelayakan Eusvewana kekal optimis bahawa skuad Harimau Malaya wanita mampu meraih keputusan positif sekiranya semua pemain berjuang dengan sepenuh hati.

Iklan
Iklan

“Sebagai pemain, saya sedar Korea Utara merupakan antara pasukan paling kuat dalam kumpulan ini. Namun, saya yakin kami akan berikan yang terbaik untuk bersaing dengan mereka.

“Tiada apa yang mustahil. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyaingi mereka,” ujarnya.

Iklan

Skuad bimbingan Joel Cornelli kini berada dalam misi wajib menang bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya, selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut menentang Palestin dan Tajikistan.

Namun begitu, perlawanan menentang pendahulu kumpulan, Korea Utara, yang memulakan kempen dengan kemenangan besar 10-0 ke atas Tajikistan sebelum membelasah Palestin, bakal menjadi ujian sebenar buat kekuatan mental dan fizikal pemain-pemain negara.

Iklan

Tambah Eusvewana, semua pemain berada dalam motivasi terbaik menjelang perlawanan penting berkenaan.

“Semua pemain menginginkan kemenangan. Jadi kami akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan ini.

“Saya berharap rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kata-kata semangat untuk menaikkan moral kami agar dapat beraksi dengan lebih cemerlang,” katanya.