SUNGAI BULOH – Lebam, bengkak dan luka di seluruh badan antara kesan yang dialami seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai didera sehingga meninggal dunia di Paya Jaras, di sini, pada Jumaat.
Mangsa sebelum itu dibawa oleh sepasang suami isteri yang dipercayai keluarga angkatnya ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan wanita berusia 35 tahun yang bertugas di Hospital Sungai Buloh pada jam 12.25 pagi.
Menurutnya, dalam laporan itu, pengadu memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak perempuan yang tidak sedarkan diri telah dibawa ke Zon Merah Jabatan Kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 10.45 malam pada Khamis.
“Doktor bertugas bersama pengadu telah memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas dan mangsa disahkan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan mangsa, selain tompokan darah yang telah kering pada bahagian mulut dan hidung,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa dihantar ke hospital oleh seorang lelaki dan seorang wanita Melayu yang mengaku sebagai keluarga angkat mangsa.
Susulan itu, Mohd Hafiz berkata pihaknya menahan pasangan suami isteri masing-masing berusia 27 dan 28 tahun, yang juga keluarga angkat mangsa, di sekitar kawasan Sungai Buloh pada jam 11 pagi hari yang sama.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman,” ujarnya.
Katanya, mayat kanak-kanak berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan diminta tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat,” katanya.
Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194.