MELAKA - Seorang lelaki berusia 54 tahun dan anak perempuannya ditahan polis pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang juga anak kepada individu tersebut.
Sumber berkata, nasib malang yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu terbongkar selepas mangsa yang merupakan OKU pembelajaran menceritakan perbuatan keji bapanya yang berlaku pada 6 Jun lalu kepada ibu saudaranya.
Menurut sumber, sebelum ini mangsa yang berusia 23 tahun pernah menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada kakaknya yang berusia 25 tahun, namun wanita itu tidak mempercayainya.
Sebaliknya, kakak mangsa telah bertindak memukulnya kerana menganggap mangsa telah memfitnah bapa mereka.
Disebabkan takut dipukul, mangsa enggan pulang ke rumah lalu menceritakan kepada ibu saudaranya. Wanita tersebut kemudian membawa gadis OKU itu membuat laporan polis.
Jelasnya, mangsa yang masih bujang mendakwa, sebelum kejadian, dia yang baru selesai mandi telah ditarik bapanya ke dalam bilik di rumah mereka di Cheng.
Mangsa yang gagal melepaskan diri didakwa telah dirogol suspek dan selepas itu, mangsa telah diugut agar tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.
Lebih menyedihkan, mangsa turut dipukul dengan tali pinggang di bahagian kaki agar tidak membocorkan rahsia.
Susulan laporan polis itu, sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan lelaki itu termasuk kakak mangsa yang dipercayai bersubahat pada petang tadi.
Difahamkan, kedua-dua mereka akan direman di Mahkamah Majistret Melaka pada Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.