TELUK INTAN - Sebanyak 12 pusat jual beli sawit atau rem berlesen di sekitar daerah Hilir Perak diserbu polis selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan urus niaga, Rabu lalu.
Operasi bersepadu Op Helang Hilir Fasa 1 yang dijalankan bermula 10 pagi itu turut menyasarkan satu premis pembeli tanpa lesen serta seorang pembeli buah sawit tidak berlesen yang bergerak menggunakan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, serbuan melibatkan kawasan Chui Chak, Langkap, Labu Kubong dan Teluk Intan tersebut berjaya menahan 21 individu terdiri daripada enam lelaki dan 15 wanita berusia antara 20 hingga 63 tahun.
"Mereka yang ditahan bekerja sebagai kerani, penyelia rem sawit dan peniaga yang menjalankan urus niaga jual beli buah sawit secara tidak sah.
"Semakan rekod mendapati, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Jumaat.
Kesemua tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis untuk permohonan reman dan diberi jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Menurut Bakri, hasil operasi turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan antaranya lesen perniagaan, lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), resit urus niaga, 13 set komputer, lima mesin pencetak, 15 guni berusi buah kelapa sawit, buku akaun, alat penimbang serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati, wujud asas munasabah berlakunya elemen penipuan, penyelewengan dan pemalsuan dokumen di premis yang terlibat.
"Siasatan terhadap 12 premis berlesen dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala dua pembeli tidak berlesen dirujuk kepada MPOB untuk tindakan di bawah Seksyen 5 Akta Lembaga Minyak Sawit 1998.
"Polis juga bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meneliti kemungkinan berlaku pelanggaran di bawah akta berkenaan," katanya.
Sementara itu, Bakri berkata, Op Helang Hilir Fasa 1 dilaksanakan sebagai tindakan preemptif dan bersasar hasil analisis terhadap 454 kes kecurian buah sawit yang direkodkan di daerah itu sejak 2021 melibatkan kerugian lebih RM298,000.
Ujar beliau, data terkumpul menunjukkan 438 tan metrik buah kelapa sawit telah dicuri sepanjang tempoh tersebut dan boleh membuka peluang kepada pasaran gelap.
"Op Helang Hilir Fasa 2 akan diteruskan dalam masa terdekat dengan tumpuan terhadap penjenayah yang bersubahat dalam aktiviti kecurian sawit ini.
"Setakat ini, 33 individu sudah dikesan terlibat dan kita dalam usaha membuat tangkapan," katanya.