KUALA LUMPUR - Industri kreatif digital Malaysia mencatatkan prestasi kukuh pada 2023 yang menjana hasil sebanyak RM5.3 bilion dengan nilai eksport RM800 juta.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu turut menyumbang kepada penciptaan lebih 10,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi yang merangkumi ekosistem berkenaan.
"Di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital (DICE) oleh MDEC menyaksikan komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor kreatif digital bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dan global bagi penciptaan kandungan digital menjelang 2030.
"DICE bukan sekadar inisiatif, ia strategi holistik untuk membina ekosistem mampan yang menyokong pembangunan bakat, akses pasaran, pelaburan dan inovasi dalam industri berkenaan,” katanya semasa berucap sempena pelancaran rasmi Permainan Video Upin & Ipin Universe di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Gerald Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Streamline Media Group Alexander Fernandez.
Gobind berkata selari dengan momentum pendigitalan global, sektor permainan video juga menyaksikan perkembangan yang pesat.
Sehubungan itu, kementerian terus memacu transformasi digital Malaysia dengan mengutamakan subsektor animasi dan permainan sebagai komponen teras agenda digital negara.
"Menyedari peranan penting industri kreatif digital, kementerian menyifatkannya sebagai tulang belakang kemajuan negara dalam ekonomi digital.
"Bagi memperkukuh ekosistem itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan dua program utama iaitu Animated Shorts Challenge dan Digital Games Testbed.
"Kedua-dua inisiatif baharu berkenaan memperlihatkan komitmen Malaysia untuk memupuk inovasi dan kecemerlangan kreatif dalam persekitaran digital,” katanya. - Bernama