BENTONG - Sebuah bangunan empat tingkat di Kampung Baru di sini terbakar dalam kejadian yang berlaku pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian membabitkan premis perniagaan perkakas rumah itu pada jam 3.05 petang.
Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dibantu 10 anggota dari BBP Karak dan enam lagi dari Pasukan Bomba Sukarela(PBS) Perting dikerahkan ke tempat kejadian.
"Dua kren pengangkat iaitu milik Majlis Perbandaran Bentong dan pihak swasta dan dua pam angkut pengepam geganti digunakan untuk membuat pemadaman di bahagian luar bangunan dengan dua aliran 200 kaki.
"Selain itu, turut digunakan aliran hos 300 kaki satu pancutan air tangki pam jentera bomba membuat pemadaman di dalam bangunan," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Ujarnya, kejadian menyebabkan aras tiga bangunan itu terbakar 100 peratus manakala lima peratus di aras dua.
Jelas beliau, kejadian tidak membabitkan sebarang mangsa dan operasi terkawal pada jam 7.05 malam.