BATU PAHAT – Dua jenazah pekerja ladang warga Indonesia yang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan dua lori di Kilometer 80.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Ayer Hitam, dijangka dihantar pulang ke Lombok.
Konsul Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Jati Heri Winarto berkata, kedua-dua mangsa iaitu Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44, merupakan antara 55 pekerja ladang warga Indonesia yang baru tiba di negara ini.
Menurut beliau, sebaik sahaja proses bedah siasat selesai, urusan penghantaran pulang kedua-dua jenazah ke Lombok akan dilakukan.
"Keluarga kedua-dua mangsa maut sudah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Pihak konsulat akan cuba berbincang dengan pemerintah di negara ini untuk mendapatkan insurans dan pampasan termasuk daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada Khamis.
Jelas beliau, kumpulan pekerja itu termasuk dua wanita tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 malam sebelum dibawa menaiki bas dan van untuk dihantar ke ladang yang ditetapkan sekitar Johor Bahru.
Katanya, 45 pekerja menaiki bas berkenaan, manakala 10 yang lain menaiki sebuah van.
"Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nusiah, yang mengalami kecederaan parah masih dirawat di Unit Kecemasan HSNI.
"Manakala 14 pekerja lain yang cedera ringan telah dibenarkan pulang dari hospital," katanya.
Dalam kejadian pada jam 12.27 tengah malam, bas yang membawa 45 penumpang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki dan lori tunda, menyebabkan dua daripada mereka maut, manakala seorang lagi parah.
Kedua-dua mangsa yang maut merupakan penumpang bas, manakala pemandu bas serta pemandu kedua-dua lori terselamat.