1,448 unit Rumah Idaman Melur siap, mula serah pada pemilik

Iklan
Amirudin (belakang, tengah) bersama pemilik rumah dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cybersouth pada Khamis.

DENGKIL – Sebanyak 1,448 unit rumah mampu milik di bawah projek Rumah Idaman Melur berharga RM250,000 telah siap sepenuhnya dan mula diserahkan kepada pemilik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek tersebut menawarkan unit kediaman seluas 1,022 kaki persegi, lebih luas berbanding standard minimum rumah mampu milik biasa iaitu 1,000 kaki persegi.

Iklan
Iklan

Ujarnya, setiap unit turut dilengkapi dua tempat letak kereta, pendingin hawa di setiap bilik, pemanas air, almari pakaian serta pilihan antara televisyen atau peti sejuk.

"Alhamdulillah, unit kediaman berkenaan telah habis ditempah, menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci telah bermula.

Iklan

"Penduduk dijangka mula berpindah masuk secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan akan datang sehingga akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cybersouth 10 pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar.

Rumah Idaman Melur merupakan projek kedua di bawah enam inisiatif Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di bawah MGB Berhad (MGB) dan kerajaan Selangor.

Menurut Amirudin, projek berkenaan merupakan kesinambungan daripada fasa terdahulu yang dirasmikan oleh MGB pada tahun lalu dengan lebih 1,000 unit telah disiapkan.

Tambahnya, kerajaan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran perumahan, dengan pelaksanaan projek melibatkan kawasan di Bukit Jelutong dan Air Manis, Sabak Bernam.

"Projek perumahan di Bukit Jelutong menyediakan sebanyak 1,400 unit, manakala projek di Air Manis, Sabak Bernam pula melibatkan 1,260 unit.

"Walaupun beberapa projek mungkin akan selesai lebih awal, namun sebahagian besar dijangka siap tahun hadapan," ujarnya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa kerajaan Selangor mensubsidi antara 10 hingga 13 peratus daripada kos keseluruhan unit Rumah Idaman Melur bagi melaksanakan program rumah sewaan iaitu Smart Sewa.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan perumahan sewa kepada mereka yang belum mampu memiliki rumah serta memastikan kelestarian perumahan untuk masa depan.

"Ini akan menjadi agenda berterusan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman dan perumahan yang selesa serta mencukupi," katanya.