SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang kepada seramai 31,850 pelajar diploma yang meneruskan pengajian ke universiti awam (UA) dan politeknik bagi sesi Julai ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM47.8 juta itu diberikan bagi membantu ibu bapa dan pelajar yang layak untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan dalam melakukan persiapan awal.
Menurutnya, agensi itu juga sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
"Di Pulau Pinang seramai 1,419 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.13 juta. Bagi kawasan Bukit Gelugor pula, seramai 87 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM130,500. Tahniah dan syabas kepada semua pelajar di atas kejayaan melangkah ke menara gading.
"WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin. Tunjukkan lah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Norliza menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah di kawasan Bukit Bukit Gelugor, Pulau Pinang bagi menyampaikan sendiri surat tawaran kepada penerima.
Turut serta, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengurus Cawangan Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Rusnani Othman
Mengulas lanjut, Norliza berkata, setakat 31 Mei lalu, seramai 990,638 pelajar telah menerima manfaat melibatkan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion sejak WPP diperkenalkan pada 1999.
Jelasnya, inisiatif tersebut diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan IPTA melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan universiti awam (UA), selain ibu bapa atau penjaga juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
"Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 2 Julai 2025 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar, manakala wakil adalah tidak dibenarkan.
"Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 2 Julai 2025 hingga 1 September 2025," katanya.
Selain itu katanya, pelajar juga boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Beliau menambah, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
"Para pelajar boleh merujuk kepada bahagian hal ehwal pelajar UA dan politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan," katanya.