SELEPAS menyepi seketika daripada dunia seni, penyanyi bersuara lantang, Shila Amzah tampil dengan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku, sebuah karya peribadi yang ditulis dan digubah sepenuhnya.
Lagu ini pengubat rindu buat para peminat dan menjadi simbol kematangan seorang wanita yang sudah 25 tahun meniti dalam industri hiburan.
Ditulis hanya dalam dua hari ketika emosi masih belum stabil pasca melahirkan, wanita berusia 34 tahun itu mengakui karya ini lahir dari tempat paling jujur dalam hati.
“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami menyarankan agar saya cuba luahkan melalui lagu dan dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Ia bukan sekadar luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” jelas Shila yang merakamkan lagu itu bersama penerbit dan penggubah muzik tersohor, Genervie Kam.
Lagu tersebut mengangkat tema kekecewaan dalam hubungan, namun tidak tenggelam dalam kesedihan. Sebaliknya, Pernah Punya Aku disulam dengan harapan dan kekuatan seperti bahu yang memahami dan pelukan yang memberi semangat.
“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan ada jalan keluar. Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati tetapi dalam masa yang sama saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian,” tambahnya.
Pernah Punya Aku adalah pembuka tirai kepada album penuh terbaharu Shila yang bakal menemui peminat hujung tahun ini.
Sebuah karya yang bukan sahaja menandakan babak baharu, tetapi juga simbol kelahiran semula sebagai ibu, wanita, dan seniman yang tidak pernah lelah menyampaikan cerita melalui muzik.
Pernah Punya Aku kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.