Nelayan hilang ditemui lemas, tersangkut pada pukat

Iklan
Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan seorang diri awal pagi Rabu ditemui lemas di perairan Tanjung Piandang, Kuala Kurau.

IPOH - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan seorang diri awal pagi Rabu ditemui lemas dengan mayatnya tersangkut pada pukat di perairan Tanjung Piandang, Kuala Kurau, kira-kira 106 kilometer dari sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, kehilangan mangsa, Mohd Hafifi Harun, yang berusia 30-an, disedari oleh komuniti nelayan setempat selepas bot miliknya ditemui terapung tanpa pengendali sekitar jam 8 pagi.

Iklan
Iklan

"Mangsa dipercayai keluar ke laut seorang diri sekitar jam 3 pagi sebelum usaha mencari segera dilancarkan oleh nelayan setempat, sebelum pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menerima maklumat daripada polis.

"Beberapa jam kemudian, mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati, tersangkut pada pukat tidak jauh dari lokasi botnya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke jeti berhampiran sebelum diserahkan kepada polis untuk proses pengecaman dan dokumentasi lanjut.

"Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. Antara langkah yang boleh diambil termasuk memakai jaket keselamatan, menggunakan sistem pemantauan lokasi serta tidak turun ke laut bersendirian, khususnya pada waktu malam,” katanya. - Bernama

Iklan