BUTTERWORTH – Polis masih menyiasat motif kejadian tembakan terhadap seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior, di sini pada petang Selasa.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini motif serta suspek yang terlibat masih belum dikenal pasti dan beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menggugat ketenteraman awam.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, Pusat Kawalan Daerah Seberang Perai Utara telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Sungai Nyior.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan telah ditembak dari jarak dekat ketika sedang menunggu anaknya di hadapan sekolah berkenaan.
“Dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan mangsa sebelum melepaskan lima das tembakan ke arah pacuan empat roda tersebut.
“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Alwi berkata, siasatan dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dengan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Bahagian Siasatan Jenayah D9 IPD SPU dan IPK Pulau Pinang bagi mengesan suspek.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melepaskan tembakan dengan niat membunuh.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Shuheri Abd Rani di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali berhampiran sebuah sekolah rendah di Sungai Nyior pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an dikatakan sedang dalam perjalanan untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah.