GEORGE TOWN - Seramai 18 wanita warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di sebuah premis hiburan di Jalan Anson, di sini pada malam Selasa.
Operasi sekitar jam 11 malam itu hasil risikan pasukan JIM Pulau Pinang selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti persundalan dan perkhidmatan GRO kepada pelanggan tempatan.
Menurut sumber, wanita yang ditahan melibatkan 17 warga Vietnam dan seorang warga Kemboja.
"Turut ditangkap seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis terbabit
"Ketika serbuan dilakukan, sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri namun usaha tersebut ternyata sia-sia selepas berjaya ditangkap anggota serbuan,"katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Sumber berkata, pemeriksaan mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, premis terbabit berselindung di sebalik kafe dan pusat karaoke namun menyediakan perkhidmatan GRO untuk pelanggannya.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen di Sebebrang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Juru untuk tindakan lanjut," tambahnya
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.