ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kuala Kedah mengingatkan kerajaan negeri agar mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini dalam setiap projek pelaburan yang dirancang.
Ketua Cabangnya, Shakir Sheikh Lukman berkata, pelaburan asing diakui mampu membawa teknologi baharu, menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, namun rakyat tidak boleh sekadar menjadi penonton di tanah sendiri.
Menurutnya, rakyat Kedah perlu dilibatkan secara langsung dan beroleh manfaat ekonomi dan sosial selain diberi peluang membina masa depan lebih baik hasil daripada kerjasama antarabangsa yang dijalankan.
“Kami menyambut baik usaha kerajaan negeri menjalin kerjasama strategik dengan Wilayah Fujian, China dalam pembangunan ekonomi marin yang berpotensi membawa impak positif kepada negeri ini.
“Namun kami tidak mahu melihat negeri ini sekadar menjadi lokasi projek mega, manakala rakyat menjadi penonton di tanah sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada 26 Jun, Kedah memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) dengan Wilayah Fujian dalam sektor ekonomi biru merangkumi industri perikanan laut, pembangunan pelabuhan, bioteknologi marin dan tenaga boleh diperbaharui luar pesisir.
Exco Industri, Pelaburan dan Pengajian Tinggi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah memaklumkan sebanyak 3,000 ekar tanah di Kuala Kedah dikenal pasti untuk pembangunan ekonomi marin, manakala Langkawi turut dijadikan lokasi utama bagi sektor akuakultur.
Dalam pada itu, Shakir berharap kerajaan negeri dan pelabur memberi keutamaan kepada syarikat tempatan, dengan melatih dan mengambil pekerja tempatan serta memberi ruang kepada anak muda terlibat dalam bidang teknologi dan kemahiran tinggi.
“Pelaksanaan setiap projek perlu dibuat secara telus, mampan dan inklusif bagi memastikan pembangunan yang dijalankan tidak mengorbankan hak serta masa depan anak negeri semata-mata untuk angka pelaburan di atas kertas.
“Pelaburan mesti membawa hasil sebenar kepada rakyat marhaen,” katanya.
Tegas Shakir, PKR Kuala Kedah akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat untuk memastikan pelaburan asing benar-benar membawa manfaat kepada rakyat negeri ini, sejajar dengan matlamat pembangunan inklusif untuk semua.