Mesir, Qatar bincang usaha hidupkan semula rundingan gencatan senjata Gaza

Iklan
Lebih 56,500 rakyat Palestin maut sejak konflik memuncak pada Oktober 2023.

ISTANBUL - Menteri Luar Mesir dan Qatar mengadakan perbincangan pada Selasa bagi menyelaras usaha menyambung semula rundingan ke arah gencatan senjata yang berkekalan di Semenanjung Gaza.

Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Kementerian Luar Mesir yang memaklumkan bahawa Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty dan rakan sejawatnya dari Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani bertukar pandangan melalui panggilan telefon mengenai perkembangan terkini di Gaza.

Iklan
Iklan

Kedua-dua menteri membincangkan usaha bersama dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menghidupkan semula rundingan gencatan senjata yang bertujuan menamatkan keganasan, membebaskan tahanan dan banduan, serta memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza secara segera dan tanpa halangan.

Ahad lepas, Abdelatty berkata Kaherah sedang merangka inisiatif baharu yang mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari sebagai pertukaran kepada pembebasan beberapa tawanan Israel dan kemasukan pantas bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Iklan

Mesir, Qatar dan AS sebelum ini menjadi perantara kepada perjanjian gencatan senjata tiga fasa antara Israel dan Hamas pada 19 Januari.

Namun, perjanjian itu gagal diteruskan selepas Israel menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza pada 18 Mac.

Iklan

Sejak konflik memuncak pada Oktober 2023, lebih 56,500 rakyat Palestin maut, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Bernama