Wanita terapung di sungai ditemui meninggal dunia

Iklan
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto bomba

ALOR SETAR – Seorang wanita yang dipercayai lemas ditemukan terapung di sungai berhampiran Jalan Biru 1, Kampung Berjaya di sini pada petang Isnin.

Pegawai Kanan Zon 1 Kota Setar, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas ditemui oleh pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 5.25 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 8.41 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8.57 pagi, pasukan dimaklumkan oleh seorang pekerja syarikat pembersihan bahawa terdapat seorang wanita dilihat terkapai-kapai di dalam sungai,” katanya pada Isnin.

Iklan

Jelas Mohd Sofi, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan BBP Jalan Raja, dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan BBP Sungai Petani.

Turut membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Iklan

“Pasukan menjalankan pencarian permukaan di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Mangsa kemudiannya ditemukan terapung pada jam 5.25 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.

"Operasi terkawal pada jam 9.15 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.10 petang,” ujarnya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.