JELI - Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup kambing dan biri-biri menggunakan sebuah treler di Kampung Pak Mud, di sini pada Sabtu.
Dalam Op Taring Wawasan pada jam 11.45 malam itu, PGA turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang bertindak sebagai pemandu treler bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua ternakan terbabit dipercayai diseludup dari Thailand dan dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
"Semasa ditahan pemandu treler berkenaan telah menunjukkan dokumen berkaitan haiwan ternakan tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati dokumen itu meragukan dan disyaki palsu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas treler itu telah menjumpai 166 ekor kambing dan 34 ekor biri-biri.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua rampasan bernilai RM625,000 diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.