Kempen dalaman berterusan bendung jenayah rasuah terus berlaku

Iklan
Setiap jabatan atau agensi perlu memainkan peranan aktif dalam membanteras jenayah rasuah, bukan sekadar melalui penguatkuasaan tetapi juga melalui kempen dalaman berterusan dan berkesan. Gambar kecil: Hamdan Daniel

SHAH ALAM - Setiap jabatan atau agensi perlu memainkan peranan aktif dalam membanteras jenayah rasuah, bukan sekadar melalui penguatkuasaan tetapi juga melalui kempen dalaman berterusan dan berkesan.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, kempen dalaman itu bertujuan menyemai nilai integriti, menyedarkan pegawai tentang kesan buruk rasuah serta membina budaya kerja yang bebas daripada salah guna kuasa.

Iklan
Iklan

"Antaranya, majikan boleh menyediakan paparan visual yang menarik seperti poster, infografik dan slogan yang mampu memberi kesedaran secara konsisten. Gunakan ruang pejabat, bilik mesyuarat, pantri dan laluan utama sebagai kawasan strategik untuk menampilkan mesej antirasuah.

"Infografik pula boleh menunjukkan statistik, contoh kes sebenar dan akibat undang-undang agar mesejnya lebih berkesan. Selain itu, aktiviti interaktif seperti kuiz, pertandingan menulis esei atau mereka poster bertemakan antirasuah dapat menggalakkan penglibatan aktif dalam kalangan kakitangan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, seorang jurutera awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 antara 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.

Tertuduh, Muhamad Azly Abdul Aziz, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Iklan

Tambah Hamdan Daniel, saban hari kita diberitakan berkaitan berita rasuah yang melibatkan golongan profesional.

"Di mana silapnya adakah desakan ekonomi atau nasfu material yang tidak berhujung. Seharusnya kepakaran yang ada digunakan untuk kepentingan yang lebih dalam memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat dan kumpulan sasaran.

"Di sinilah letaknya nilai intergriti yang tinggi dalam mendepani cabaran dan dugaan. Walaupun jenayah rasuah terdedah untuk dilakukan namun jika mereka berfikiran waras dan menyedari kesan tindakan yang akan berlaku kepada diri, keluarga serta masyarakat maka perlulah dielakkan sama sekali," katanya.

Ujarnya, sayang kepakaran yang dimiliki disalahguna malahan jika disabitkan kesalahan pastinya memberi kesan sangat mendalam sesuatu kerjaya.

Beliau turut berpendapat, hukuman tegas harus dikenakan kepada pesalah rasuah bagi memberi pengajaran bahawa tiada sesiapa pun akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Marilah kita mengubah Malaysia menjadi negara yang bersih dari rasuah. Semua pihak haruslah memainkan peranan mengikut kapasiti masing-masing. Ia pasti akan menghasilkan satu impak yang membesar dalam mengurangi kadar kes rasuah di negara kita.

"Ayuh kita bersama melawan rasuah hingga ke akar umbi. Teruskan menyokong usaha kerajaan dalam menangani amalan rasuah yang merugikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Oleh itu, saya berharap semua individu termasuk penjawat awam dan pekerja swasta mengangkat nilai integriti sebagai teras dalam setiap tindakan agar impian untuk melihat Malaysia bebas rasuah dapat direalisasikan," jelasnya.