KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan menyeluruh ke atas seorang petugas kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang didakwa bertindak kasar terhadap bayi yang baru lahir.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan itu dilakukan berlandaskan prosedur yang ditetapkan.
"Kami (JKNK) memandang serius terhadap sebarang bentuk salah laku atau perlakuan yang tidak beretika dalam kalangan warga kerja (petugas kesihatan).
"Semua pesakit berhak untuk menerima layanan yang penuh empati, hormat dan profesionalisme tanpa mengira latar belakang.
"Kualiti penjagaan dan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan kami. Pihak JKNK komited untuk memastikan kesejahteraan dan keselesaan semua pelanggan sentiasa terpelihara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, kejadian dilaporkan berlaku pada Sabtu.
Ujarnya, pengadu kemudian telah mengemukakan laporan berhubung kejadian itu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) pada Ahad.
Dr Zaini memberitahu, sebarang isu berkaitan salah laku akan ditangani secara tegas demi memelihara integriti dan profesionalisme perkhidmatan kesihatan negara.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang petugas kesihatan di sebuah hospital di sini didakwa bertindak kasar ke atas bayi baru lahir.
Perkara tersebut tular selepas sebuah portal di Facebook memuat naik tangkap layar aduan tersebut sekali gus menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.