SEREMBAN -"Setiap hari beliau mengajar banduan di dalam penjara dan adakalanya berkongsi ilmu dengan pegawai penjara".
Demikian kongsi peguam, Mohamad Zahid Ahmad berkenaan keadaan pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 44, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan melakukan amang seksual.
Beliau berkata, temannya itu juga berada dalam keadaan baik di penjara dan dimaklumkan telah menghafaz empat juzuk al-Quran.
"Beliau mohon doakan dirinya dan dah masuk empat juzuk hafal al-Quran," kongsinya di Facebook.
Tambahnya lagi, setiap kali berjumpa dengan bekas anak guamnya itu, ada saja buku yang dimintanya.
Bagaimanapun Mohamad Zahid berkata, berada di dalam penjara bukanlah sesuatu yang menyeronokkan dan hanya PU Azman merasainya.
"Hanya beliau sahaja yang tahu apa yang beliau rasa. Namun setiap orang ada jalan dan ceritanya sendiri.
"Saya yakin apa yang terjadi pada sahabat saya adalah ujian yang terbaik di sisi ALLAH," katanya.
Sementara itu, Mohamad Zahid yang dihubungi Sinar Harian turut menambah yang PU Azman juga reda dengan ketentuan-Nya.
Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan PU Azman untuk menjalani hukuman serentak selama 12 tahun berbanding 24 tahun atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua sebatan yang dikenakan terhadapnya dan beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September 2024.