SHAH ALAM - Seramai 63 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk balu serta wakil waris dari sekitar Tawau, Lahad Datu dan Semporna, Sabah menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Royal Borneo pada Ahad.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, penganugerahan PJM tersebut merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara, sesuai dengan tarafnya sebagai 'campaign medal'.
"Sehingga hari ini, seramai 49,475 warga veteran ATM yang memenuhi syarat telah menerima PJM.
"PJM juga adalah antara pingat terkanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS)," katanya pada Ahad.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Kementerian Pertahanan juga jelasnya, sentiasa prihatin dengan kebajikan dan hal ehwal veteran ATM dengan memastikan kesejahteraan mereka terpelihara melalui inisiatif Pelan Strategik Mindef 2021 – 2025.
"Ia membabitkan Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM dan Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan warga pertahanan.
"Usaha tersebut turut diperluas denganmempelbagaikan sumber dan mempertingkatkan sumbangan kutipan Kempen Tabung Pahlawan (KTP) dari kalangan korporat dan orang perseorangan dalam usaha membantu para veteran ATM yang memerlukan," katanya.