MUAR – Sebuah rumah teres berkembar jenis separuh kekal musnah dalam satu kejadian kebakaran di Taman Bakariah, di sini, pada petang Ahad.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I, Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.40 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dengan bantuan BBP Pagoh segera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres berkembar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus dan sebuah kereta Proton Saga yang hampir musnah penuhnya.
"Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut dan operasi dikawal sepenuhnya pada jam 5.15 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.08 malam.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mengesahkan kejadian.
“Siasatan mendapati kebakaran berlaku akibat stor kecil yang terbakar dan terletak berhampiran rumah kediaman, sebelum api merebak ke rumah bersebelahan.
“Siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti yang menyebabkan kebakaran berlaku dan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.