Mydin kekal harga jualan sehingga Ogos

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai SST. Gambar kecil: Ameer

SHAH ALAM - Harga barangan di Pasaraya Mydin akan dinaikkan secara beransur-ansur bermula Ogos ini apabila stok lama habis dan digantikan dengan stok baharu yang terkesan dengan kenaikan kos operasi serta peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, harga jualan kekal buat masa ini kerana stok sedia ada masih mampu bertahan sehingga sebulan sebelum digantikan dengan bekalan baharu daripada pembekal.

Iklan
Iklan

“Jadi, jika barang bertahan selama satu bulan, maka apabila habis barang, pembekal kita akan hantar barangan baharu. Apabila mereka menaikkan harga, maka kita terpaksa menaikkan harga jualan.

“Bagaimanapun, kita tidak akan benarkan naik harga sewenang-wenangnya. Jika kos naik, barulah kita naikkan harga.

Iklan

"Namun, jangkaan saya memang barang terlibat peluasan SST akan naik harga,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, Mydin menjangkakan stok sedia ada akan bertahan selama dua minggu manakala stok daripada pembekal dijangka mampu bertahan selama sebulan.

Iklan

“Untuk Mydin sendiri dalam tempoh sebulan ini harga barangan tidak akan naik lagi. Dalam bulan Ogos, harga barang kemungkinan naik,” ujarnya.

Ameer menegaskan sebarang kenaikan harga di pasar raya itu selepas ini akan dibuat secara berhemah dan berdasarkan kepada peningkatan kos sebenar.

Jelasnya, peluasan SST dijangka memberi kesan kepada banyak barangan proses termasuk produk makanan dalam tin dan mi segera yang diimport dari luar negara.

Sebagai contoh kata Ameer, mi segera buatan Malaysia tidak akan terkesan dengan peluasan SST itu, namun mi yang diimport dari negara seperti Indonesia, Thailand dan Korea dijangka akan naik.

Menurut beliau lagi, turut terkesan buah-buahan tertentu seperti nanas, laici, nangka dan belimbing yang turut diimport dari beberapa negara lain.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan belum mempunyai jumlah barangan yang akan terkesan dengan peluasan SST bermula 1 Julai itu, namun percaya ia melibatkan banyak produk khususnya barangan proses diimport.

Kongsinya, kenaikan harga barangan tertentu tidak dapat dielakkan berikutan peluasan SST, namun harga barangan di Mydin untuk tempoh sebulan ini masih kekal sama.

Tambah Ameer, kenaikan harga juga dikhuatiri akan berlaku apabila kos operasi meningkat termasuk kesan daripada pelaksanaan levi baharu kepada pekerja asing dan cukai SST lapan peratus untuk sewaan premis.

Disebabkan itu, menurutnya lagi, peningkatan kos operasi dijangka mencecah sehingga 1.5 peratus dan ia turut memberi kesan langsung kepada harga jualan.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana masih mengekalkan pengecualian SST terhadap barangan makanan tertentu.