Empat jam dari Gombak ke Kota Bharu

Iklan
ECRL berupaya menawarkan perjalanan antara Lembah Klang dengan Pantai Timur yang pantas, lancar dan selesa.

PERJALANAN menaiki tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu mengambil masa sekitar empat jam, namun perjalanan menuju ke pusat bandar negeri Cik Siti Wan Kembang itu memerlukan masa dan kos pengangkutan tambahan.

Bagi perjalanan kira-kira 10 kilometer dari Stesen ECRL Kota Bharu ke Pasar Besar Siti Khadijah, wartawan Sinar Harian bersama rakan media membayar RM46 untuk perkhidmatan e-hailing enam tempat duduk.

Iklan
Iklan

Pengalaman itu antara dapatan ketika menyertai program Familiarisation Trip (FAM Trip) Jelajah Landasan ECRL yang turut membuka peluang untuk menilai sendiri keselesaan tren dan keadaan kemudahan di stesen.

Lawatan berkenaan berlangsung ketika ECRL menjalani operasi percubaan sebelum perkhidmatan penumpang komersial disasarkan bermula pada 12 Disember ini.

Iklan

Perjalanan bermula dari Terminal Bersepadu Gombak menggunakan tren ekspres yang mencapai kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dan tetap memberikan keselesaan kepada penumpang tanpa gegaran ketara.

Malah, kelajuan tersebut hampir tidak terasa apabila penulis masih boleh menggunakan telefon, berjalan di dalam tren dan merakam pemandangan luar.

Iklan

Kru tren ECRL, Siti Khatijah Chek menyantuni penumpang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL Kota Bharu.

Kestabilan itu berbeza daripada jangkaan awal bahawa tren yang bergerak pada kelajuan tinggi akan menghasilkan gegaran menakutkan sehingga berisiko mengundang rasa cemas.

Kerusi dengan penyandar boleh laras memberikan sokongan yang baik, malah penulis dapat tidur dengan selesa ketika perjalanan merentasi tiga negeri di Pantai Timur.

Ruang kaki yang luas, soket pengecas telefon dan kerusi yang boleh dipusingkan sehingga 360 darjah turut menambah keselesaan penumpang.

Sistem pendingin hawa berfungsi dengan baik, manakala kemudahan tandas di dalam gerabak selesa digunakan ketika tren bergerak.

Bagi penulis yang berasal dari Selangor, perjalanan itu turut membuka peluang menikmati panorama sawah padi, kawasan hutan berbukit dan perkampungan yang silih berganti sepanjang laluan, sekali gus memberikan pengalaman berbeza berbanding dengan perjalanan melalui lebuh raya.

Bagaimanapun, terdapat kekangan apabila telefon penulis kehilangan liputan di beberapa kawasan, menyebabkan capaian internet terputus buat sementara waktu.

Penulis (kanan) bersama wartawan dari agensi media lain.

Gangguan komunikasi itu menjadi antara aspek yang wajar diberikan perhatian, terutama bagi penumpang yang mahu bekerja atau berhubung dengan keluarga sepanjang perjalanan ataupun membuat siaran langsung di TikTok.

Punca sebenar gangguan berkenaan belum dapat dipastikan sama ada disebabkan oleh keadaan geografi, terowong atau liputan rangkaian telekomunikasi.

Berdasarkan catatan perjalanan, tren tiba di KotaSAS, Kuantan pada jam 8.37 pagi sebelum melalui kawasan Cherating sekitar jam 9.02 pagi dan Chukai, 12 minit kemudian.

Perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu dengan catatan ketibaan pada jam 10.11 pagi sebelum tiba di Stesen Kota Bharu tepat jam 11.11 pagi.

Ketibaan di Stesen Kota Bharu memberikan peluang kepada penulis untuk meninjau keadaan premis itu yang mempunyai ruang menunggu yang luas, selesa dan persekitaran yang tenang.

Bagaimanapun, pemerhatian mendapati beberapa kemudahan masih dalam persiapan, termasuk tandas yang belum boleh digunakan kerana sedang disenggarakan.

Kemudahan ruang solat yang selesa turut disediakan kepada penumpang beragama Islam.

Premis perniagaan di dalam stesen juga belum beroperasi, manakala sebahagian laluan di luar bangunan masih berpasir dan terdapat penghadang di kawasan akses jalan masuk.

Keadaan tersebut bagaimanapun direkodkan ketika operasi percubaan dan tidak semestinya menggambarkan kemudahan yang bakal tersedia apabila perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.

Pengamal media turut diberikan makanan dan minuman oleh penganjur sebelum menikmati waktu bebas sehingga sesi berkumpul semula pada jam 4 petang.

Tanpa kenderaan khas yang disediakan bagi aktiviti persendirian, penulis bersama beberapa rakan media mengambil keputusan untuk menempah perkhidmatan e-hailing bagi mengunjungi Pasar Besar Siti Khadijah.

Infografik laluan ECRL.

23 minit ke pusat bandar

Tempahan kenderaan e-hailing enam tempat duduk ketika waktu puncak tengah hari, iaitu pada jam 12.33 tengah hari, dikenakan tambang RM46 bagi perjalanan selama 23 minit.

Bagaimanapun, perjalanan pulang pada jam 3.15 petang menggunakan kenderaan kategori sama hanya menelan belanja RM22, dengan ketibaan di stesen pada jam 3.40 petang.

Perbezaan RM24 antara kedua-dua perjalanan itu berkemungkinan dipengaruhi oleh perubahan permintaan mengikut waktu tempahan, selain faktor penetapan harga dinamik perkhidmatan e-hailing.

Secara keseluruhan, kos pengangkutan pergi balik ialah RM68 bagi satu kenderaan, sekali gus memperlihatkan bahawa penumpang juga perlu mengambil kira perbelanjaan tambahan untuk meneruskan perjalanan selepas tiba di stesen.

Sebagai rekod, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebelum ini mengumumkan tambang ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu bermula pada RM147 sehala bagi perkhidmatan ekspres dan RM125 bagi perkhidmatan transit.

Kedua-dua kadar tersebut menggunakan mekanisme tambang dinamik yang berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.

Info grafik berkaitan ECRL.

Kerajaan pada 3 November lalu turut meluluskan peruntukan RM30 juta bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu untuk memperkukuh hubungan antara pengangkutan rel dengan jalan raya.

Pembangunan kemudahan itu penting kerana pengalaman penumpang bukan hanya bergantung pada kepantasan tren, tetapi juga akses pengangkutan selepas tiba di destinasi.

Perjalanan pulang penulis menggunakan tren transit, berbeza daripada perkhidmatan ekspres ketika menuju ke Kota Bharu.

Menurut MRL, operasi percubaan berlangsung dari 7 November hingga 2 Disember bagi menilai kesiapsiagaan perkhidmatan, pengurusan stesen dan pengalaman penumpang sebelum pembukaan komersial.

Pengalaman penulis membuktikan ECRL berupaya menawarkan perjalanan antara Lembah Klang dengan Pantai Timur yang pantas, lancar dan selesa.

Namun, keadaan di Stesen Kota Bharu serta gangguan komunikasi di beberapa lokasi sepanjang laluan memperlihatkan masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memastikan kemudahan itu memenuhi keperluan dan jangkaan pengguna.