Mayat lelaki Bangladesh lemas ditemui 13km dari lokasi hilang

Iklan
Lelaki Bangladesh yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Rumah Pam Air Kampung Bangkahulu, Gemas ditemukan lemas di Sungai Muar pada Ahad. Foto IPD Tampin

TAMPIN – Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di Rumah Pam Air Kampung Bangkahulu, Gemas, pada Khamis lalu, ditemukan di Sungai Muar di Kampung Tiong pada Ahad.

Mayat lelaki berusia 26 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 13 kilometer dari lokasi dia terjatuh.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki berkenaan pada jam 9.55 pagi.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin menerima panggilan daripada RC Melaka memaklumkan terdapat penemuan satu mayat lelaki di Kampung Tiong.

Iklan

“Berdasarkan maklumat tersebut, polis ke lokasi kejadian dan dengan bantuan pasukan bomba dari Gemas, mayat berkenaan berjaya dikeluarkan dari permukaan sungai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mayat lelaki berusia 26 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 13 kilometer dari lokasinya terjatuh. Foto IPD Tampin

Iklan

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mayat itu adalah lelaki warga Bangladesh yang sebelum ini dilaporkan lemas di Rumah Pam Air Kampung Bangkahulu, Gemas.

Beliau berkata, waris mangsa telah membuat pengecaman terhadap mayat sebelum ia dihantar ke Bilik Mayat Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dihentikan pada Sabtu jam 5 petang selepas pelbagai usaha dilakukan namun tiada petunjuk ditemui.