ALOR SETAR – Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad iaitu Datin Fatimah Awang Kechek telah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Berita duka itu dimaklumkan sendiri oleh Najmi menerusi laman media sosial rasminya, sambil memohon doa orang ramai agar roh isterinya diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Allahyarham Fatimah, 66, meninggal dunia pada jam 2.30 pagi akibat masalah buah pinggang yang dihidapinya sejak tahun 2018. Jenazah dibawa pulang ke Kupang untuk urusan pengebumian.
“Dimaklumkan, isteri saya, iaitu Datin Fatimah Awang Kechek, baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 pagi tadi (Ahad) di HSB Alor Setar.
“Semoga rohnya diberi keampunan, diangkat darjatnya di sisi ALLAH, dan dikurniakan Syurga Firdaus,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Difahamkan, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah sejak 23 Mei lalu selepas mendapatkan rawatan awal penyakit buah pinggang di Hospital Baling.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Hangus, Kupang selepas solat Asar.
Orang ramai, khususnya penduduk sekitar Kupang, turut menzahirkan ucapan takziah dan hadir ke rumah ADUN Kupang, selain menyampaikan doa serta ucapan simpati menerusi media sosial sejak berita pemergian Allahyarham tersebar awal pagi tadi.