SKUAD Bawah 21 tahun (B-21) England mempertahankan gelaran Eropah dengan kemenangan dramatik mendebarkan 3-2 ke atas Jerman dalam aksi final masa tambahan di Stadión Tehelné pole.
Jaringan hasil tandukan pemain gantian Jonathan Rowe, dua minit selepas dimasukkan, memastikan gelaran Euro 2025 di Bratislava menjadi milik England.
Kejayaan ini menyaksikan skuad kendalian Lee Carsley berjaya mengekalkan trofi yang menangi dua tahun lalu, kemenangan yang menamatkan kemarau 39 tahun.
Harvey Elliott membuka tirai jaringan seawal minit kelima, menjaringkan gol kelimanya dalam kejohanan ini, sebelum Omari Hutchinson merembat masuk untuk menggandakan kelebihan pada pertengahan separuh masa pertama.
Sentuhan Hutchinson, Elliott, dan James McAtee dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Noah Atubolu, manakala Jay Stansfield terlepas peluang keemasan di tiang jauh ketika England mengancam untuk berpesta gol.
Namun, tandukan padu Nelson Weiper menjadikan kedudukan 2-1 pada masa kecederaan separuh masa pertama, dan rembatan Paul Nebel menyamakan kedudukan pada minit ke-60.
Young Lions kembali mengumpul semula ketenangan, menyaksikan Nebel sekali lagi menggegarkan palang gol pada saat-saat akhir perlawanan.
England kemudiannya meraih gol kemenangan dramatik pada minit ke-92 apabila penyerang Marseille, Rowe, menyambar hantaran Tyler Morton.
Merlin Rohl hampir mengheret perlawanan akhir ke penentuan sepakan penalti, namun percubaannya menggegarkan palang gol pada masa kecederaan.